Saturday, July 3, 2010

...Mesir Dan Sungai Nil...

-----------------By...Nadiafitrihavez....suke baca....huhuhuhuu....i copy from u fren---------------------

“Kamu percaya jodoh?” Maria bertanya Fahri.


Fahri hanya diam, memandang Maria.

“Sungai Nil dan Mesir, itu jodoh. Senangnya kalau kita bisa bertemu jodoh yang didatangkan Tuhan dari langit.”

“Jodoh itu bukan dari langit, Maria.” Fahri cuba membetulkan.

“Ia datang dari hati. Itu yang selalu kamu bilang.” Maria senyum.



“Kakak! Mengelamun!” Zulaikha membaling bantal ke arah kakaknya.

“Bisinglah, Ika. Kakak baru nak feeling sikit. Kacau saja.” Liyana menarik muncung.

“Elok sangatlah tarik muncung tu. Makin tak lawa jadinya muka kakak tu.” Zulaikha ketawa galak.

“Huh, peduli apa! Kakak tak hairan. Tak lawa tak lawa pun, kakak Ika juga. Apa, Ika ingat, Ika lawa sangat ke?” Liyana menyakat adiknya.

Zulaikha duduk di sisi katil. Bersebelahan kakaknya. “Kakak menungkan apa tadi? Jauh betul melayang. Sampai Ika masuk pun kakak tak sedar.” Zulaikha tersengih.

“Kakak teringat cerita ‘Ayat-ayat Cinta’.” Liyana senyum, penuh makna.

“Wah, bukan main lagi! Jiwanglah kakak ni! Ini betul-betul feeling! Kakak menungkan part mana?” Zulaikha mengorek rahsia.

“Part Maria dengan Fahri dekat tepi Sungai Nil. Masa tu Maria cakap pasal jodoh. Mmm, Ika rasa jodoh tu macam mana, ya?” Liyana bertanya. Dahinya berkerut, tanda mengharapkan keseriusan Zulaikha kali ini.

“Kakak ni kenapa tiba-tiba tanya pasal jodoh ni? We are still young, kakak!”

Liyana memandang Zulaikha dengan muka serius. “Heh, kamu bolehlah kata kamu muda lagi. Kakak ni, dah masuk alam dewasa. Rasanya sudah sampai masanya kakak fikir serius dalam hal ni. Lagipun, kakak tak nak kahwin lambat.” Liyana menyengih.

Zulaikha ketawa. “Kakak ni kelakarlah. Oh, nak kahwin awal, ya? Gatal!”

Liyana turut ketawa. “Ika, kakak serius ni. Macam mana kita nak tahu yang someone tu betul-betul Mr. Right kita? Macam mana nak jawab ‘Ya’ kalau ada orang tanya, ‘Will you marry me?’. Heh, menakutkan betul semua tu.”

Zulaikha menggeleng-geleng kepala. “Entahlah, kak. Kakak lagi mau tanya Ika. Ika ni belum kahwin. Manalah Ika tau pasal semua ni. Cubalah kakak tanya kawan-kawan kakak yang dah kahwin tu. Macam mana diorang boleh betul-betul pasti nak kahwin dengan orang tu. Manalah tau dengan cara ni kakak akan dapat jawab semua persoalan kakak tu, sekaligus Ika akan dapat bakal abang ipar!” Zulaikha ketawa besar.

Liyana terasa ada betulnya kata-kata adiknya itu. “Betul juga kata Ika tu. Nantilah kakak try tanya kawan-kawan kakak yang dah nak kahwin tu. Ngeri bila fikir macam mana nak cari orang yang dapat hidup selama-lamanya dengan kita. Hurmm...” Liyana mengeluh. “Bukan mencari tau. Tapi nak pastikan adakah orang tu orang yang betul untuk hidup selamanya dengan kita. Perkara kahwin ni bukan perkara main-main. Kakak nak kahwin bukan untuk sehari dua tapi selama-lamanya.”

Zulaikha melihat kakaknya betul-betul bersungguh. Nampaknya dia tidak boleh menjawab dengan main-main. “Bedoa sahajalah, kakak. Ika pun nak abang ipar yang baik, baik dengan family kita, bertanggungjawab kat kakak, sayang kakak. Heh, Ika dah lebih-lebih pula!” Zulaikha ketawa lagi.

“Budak ni...” Liyana mencubit pipi Zulaikha.

“Kakak, sakitlah.” Zulaikha menggosok pipinya. “Kakak tahu tak, kalau dah jodoh, pergilah mana-mana pun, larilah sejauh mana pun, Allah akan temukan juga. Tak boleh nak elak.”

Liyana ketawa. “Yelah kamu tu. Bercakap macam ada pengalaman je. Ika nak abang ipar yang macam mana?” Liyana tersenyum nakal. Gatal!

“Lah, tadi kan Ika dah bagi tahu. Yang boleh belanja Ika makan KFC hari-hari, yang bagi Ika duit belanja hari-hari, yang boleh cover reload handphone Ika tiap bulan...”

Bulat mata Liyana mendengar kata adiknya. “Heh? Tadi kakak rasa, lain yang kakak dengar? Tak ada pun dengar pasal KFC, reload semua-semua tu?”

“Hah, dah tu? Lagi mau tanya. Mengada-ngada lah kakak ni!”

Pecah tawa kedua beradik itu dalam bilik.

“Ana! Ika!” Kedengaran suara Puan Mariam, ibu mereka berdua menjerit. “Buat apa berdua dalam bilik tu? Siapa nak tolong kemas rumah dan kemas dapur ni? Isy, anak dara dua orang ni. Ada kat rumah pun bukan nak tolong ibu mengemas!”

“Alamak, Ika. Ibu dah buka loudspeaker. Jom!”

Kelam-kabut mereka berdua turun dari katil mendapatkan ibu di luar.

*****

Laju jarinya menari-nari di atas keyboard. Tugasan yang diberi perlu disiapkan segera. Dia tidak boleh bertangguh. Kelak lebih banyak kerja menanti. Namun sesuatu yang berkelip di sudut kanan monitor menarik perhatiannya seketika.

“Siapa pula yang bagi mesej tengah-tengah malam ni?” Liyana berkata perlahan. Dia melarikan kursor ke taskbar dan klik pada mesej yang baru sampai.

‘Selamat malam, Malaysia. Apa khabar kamu, Liyana?’

Buntang mata Liyana membaca mesej pada tetingkap Yahoo Messenger itu. Seakan tidak percaya. Fahri? Eh, silap. Tu lah, pengaruh filem ‘Ayat-ayat Cinta’ lah ni. Amin? My God! Dah lama betul tak contact dia ni. Liyana membalas mesej dari Amin.

‘Lama tak dengar berita. Ana sihat. Macam mana Mesir sekarang?’

‘Enti tanya Mesir je? Tak tanya ana sihat ke tak?’ bunyi mesej Amin yang seakan merajuk.

‘Maksud Ana, orang kat Mesir tu lah. Alahai, itu pun nak merajuk. Fahri ni macam tak kenal je perangai Ana.’ Liyana galak menyakat.

‘Fahri? Enti dah lupa ana, ya?’ Amin meneruskan rajukannya.

Liyana tergelak sendiri. ‘Kamu kan Mesir Ana. Ana Sungai Nil kamu.’ Liyana masih tidak berhenti ketawa. Seronok menyakat teman lama.

‘Ni dah terpengaruh sangat dengan filem ‘Ayat-ayat Cinta’lah ni. Sampai ana dipanggilnya Fahri. Sampai hati enti.’

‘Muhammad Amin Firdaus, mana mungkin Ana lupa kamu. Lama tak dengar cerita. Sombong kamu dengan Ana sekarang.’

‘Siapa yang sombong? Enti yang tak reply mesej ana. Ana seganlah nak mesej enti lagi.’

Liyana mengingati semula kali terakhir dia menerima mesej dari Amin. Dua tahun lepas. Memang betul dia tidak membalas mesej itu. ‘Amin, Ana minta maaf. Ana salah.’ Liyana berasa bersalah.

‘Tak apalah. Ana faham. Siapalah ana ni...’

‘Ayat sedih pula. Tapi at least sekarang kamu dah contact Ana semula, kan? Macam tak percaya je. Jumpa, terpisah, jumpa balik, terpisah semula, then jumpa balik. Berulang-ulang tak berhenti.’

‘Itulah namanya jodoh, Nur Sofea Liyana.’

Liyana senyap. Jodoh? Kakak tahu tak, kalau dah jodoh, pergilah mana-mana pun, larilah sejauh mana pun, Allah akan temukan juga. Tak boleh nak elak. Kata-kata adiknya, Zulaikha terngiang-ngiang di telinga.

Banyak orang akan mengatakan, dunia ni kecil sahaja. Ke mana pergi sekalipun, akan bertemu juga. Berbeza pada Liyana. Padanya, bukan dunia yang kecil tetapi segalanya aturan dari Ilahi. Biar sejauh mana pun seseorang, selama mana pun terpisah, namun jika kehendak Ilahi untuk mereka bertemu, akan bertemu juga. Kadang-kadang sedekat mana pun seseorang dengan orang lain, jika bukan kehendak Ilahi, tidak mungkin akan bertemu. Jadi bukanlah dunia yang kecil. Mungkin itu hanya perumpamaan yang digunakan orang-orang lama untuk menggambarkan pertemuan selepas perpisahan yang panjang.

Liyana membalas semula mesej Amin. ‘Kalau Allah dah tetapkan kamu akan jumpa Ana, kita akan berjumpa juga. Yelah, lepas 10 tahun terpisah, tiba-tiba kita berjumpa balik walaupun dengan mesej sahaja. Seorang kat Malaysia, seorang kat Mesir. Macam mana nak jumpa, kan? Lainlah kalau Ana ni Doraemon, keluarkan ‘Pintu Suka Hati’, sekarang juga Ana pergi Mesir.’

‘Betul tu. Eleh, tapi enti sombong. Tahun lepas ana balik Malaysia, enti tak nak jumpa ana pun. Sekarang ana dah balik Mesir, enti nak jumpa ana pula.’

Perasaan serba-salah sekali lagi memukul-mukul dada Liyana. Dia tahu dia bersalah dalam hal ni. Tidak pandai menghargai nilai persahabatan. ‘Ya Azhari, Ana minta maaf sekali lagi. Ana tak mahu cipta alasan. Dalam hal ni memang Ana silap.’

Liyana memutar semula layar ingatannya ke zaman sekolah rendah. Amin merupakan antara pelajar yang nakal. Dia masih ingat betapa bencinya dia dengan Amin and the gang, bab menyakat pelajar perempuan, nombor satu. Sampai satu tahap boleh dikatakan meluat, menyampah. Huh, zaman kanak-kanak! Seingatnya Amin pernah memberi dia nombor telefon untuk dihubungi ketika zaman sekolah menengah melalui seorang kawan tetapi dia telah menghilangkan nombor telefon itu. Entah sikapnya ketika itu memang tidak mahu melayan lelaki langsung. Suasana di sekolah menengah perempuan membuatkan dia kekok untuk bergaul dengan lelaki.

Selepas memasuki zaman universiti, Liyana bertemu semula dengan Amin walaupun hanya di alam maya. Satu pertemuan yang dia sendiri tidak terjangka. Amin berada jauh di Mesir, melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia, Universiti Al-Azhar. Pernah dia bertanya bagaimana Amin dapat mencarinya semula setelah bertahun lama tidak dapat berhubung. Kata Amin, bukan susah untuk mencari Nur Sofea Liyana lagi-lagi dengan kecanggihan teknologi membuatkan segala-galanya terlalu mudah. Ibarat di hujung jari. Kenakalan Amin masih segar di ingatannya. Dia masih sukar mempercayai pelajar paling nakal itu kini di Universiti Al-Azhar. Manusia boleh berubah. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri mengubah nasib mereka.

‘Ana tak pernah lupakan enti sedetik pun. Enti je yang selalu lupakan ana. Mak ayah enti sihat? Sampaikan salam ana untuk mereka.’

‘Ana salahlah ni? Ana minta maaf. Ibu ayah sihat. InsyaAllah nanti Ana sampaikan salam kamu.’

Ika pun nak abang ipar yang baik, baik dengan family kita, bertanggungjawab kat kakak, sayang kakak. Sekali lagi dia teringat kata-kata Nur Syahida Zulaikha, adiknya. Adakah ini petunjuk kepada sesuatu.

‘Ana tak salahkan kamu. Tak apalah. Tahun depan ana balik Malaysia lagi. Kamu janganlah buat sombong dengan ana.’

Liyana mengukir senyum. ‘Ok, Ana nak tebus kesalahan Ana sebab menyombong dengan kamu. Ana tunggu kamu balik Malaysia next year.’

‘Tunggu ana.’

Liyana menguntum senyum. Hatinya mula bertunas harapan. Namun dia masih ragu-ragu. Tak apalah, dia hanya mampu berdoa mengharapkan yang terbaik.

*****

“Nur Sofea Liyana, enti betul-betul nak jemput ana di KLIA nanti? Ana on the way to airport. InsyaAllah dalam pukul 8.00 malam waktu Malaysia nanti ana sampai.” Suara Amin kedengaran di hujung talian. Jauh di Mesir.

“InsyaAllah. Pukul 8 malam nanti Ana tunggu kamu di KLIA.”

“Nur Sofea Liyana...”

“Iye, saya. Ada apa?”

“Tak ada apa. Ana suka panggil nama enti.”

“Kamu ni. Lagi berapa jam je kamu akan sampai Malaysia. Ana tunggu kamu.”

“Tunggu ana.”

“Iye, nanti Ana pergi KLIA jemput kamu, ok?”

“Nur Sofea Liyana, kalau ada jodoh, kita akan berjumpa, kan? Dan kalau Allah tak mengizinkan, belum tentu kita boleh jumpa. Belum tentu ana dapat contact enti lepas 10 tahun tak berhubung langsung.”

“Iya, Ana percaya ketentuan Allah.”

“Ada jodoh, insyaAllah kita jumpa. Percayalah Qadha’ dan Qadar, Nur Sofea Liyana.”

“Ana percaya. See you! Tak sabar tunggu kamu jejak kaki ke Malaysia.”

Ana akan tebus kesalahan Ana. Ana tak akan sia-siakan lagi persahabatan ini. Maafkan Ana, Amin. Kamu memang sahabat yang sangat baik. Tak pernah sekalipun kamu jemu untuk berusaha menghubungkan silaturrahim yang telah putus. Ana rasa bersalah.

*****

‘Tunggu ana.’ Liyana masih teringat kata-kata Amin. Kata-kata yang membuatkan dia duduk di situ. Air matanya sejak tadi tidak berhenti mengalir. Tiada esak tangis yang kedengaran. Hanya mutiara jernih membasahi pipinya, gugur setitik demi setitik.

‘Itulah namanya jodoh, Nur Sofea Liyana.’ Semakin berderai air mata yang gugur. Amin, Ana tunggu kamu tapi Ana bukan nak kamu balik dalam keadaan macam ni.

Bibirnya menutur perlahan ayat-ayat suci dari Surah Yaasin. Sudah tiga hari dia berulang melawat tempat itu. Tangannya menyentuh kuburan yang masih merah tanahnya.

Berita yang diterima minggu lepas benar-benar mengejutkan. Ketika dia sedang menghitung detik, menunggu kepulangan Amin dari Mesir. Dia ingin mengotakan janjinya. Menunggu Amin di KLIA. Namun Amin terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang. Amin maut manakala dua rakannya yang lain cedera parah. Sekali lagi ketentuan Ilahi mengatasi segala-galanya. Amin meminta dia menunggunya. Ya, memang Liyana menunggunya namun bukan dalam keadaan itu yang Liyana harapkan. Liyana berharap dapat menyambut kepulangan Amin dengan senyuman, bukan tangisan. Lebih penting, Liyana ingin melihat Amin yang bernyawa, bukan menyambut jasadnya yang sudah siap dimandikan, dikafankan dan disolatkan.

Hati Liyana sebak. Di saat akhir sebelum Amin pergi, Amin sempat menelefonnya. Itu lebih menambah hiba di hatinya. Kata-kata Amin seolah-olah menggambarkan yang dia memang akan pergi.

“Amin, kamu minta Ana tunggu kamu. Tapi kamu yang pergi dulu.”

‘Ada jodoh, insyaAllah kita jumpa. Percayalah Qadha’ dan Qadar, Nur Sofea Liyana’. Liyana berasa seolah-olah Amin membisikkan kata-kata itu ke telinganya.

“Muhammad Amin Firdaus...”

‘Nur Sofea Liyana...’

“Ana bukan nak tengok kamu macam ni.” Bertambah air mata yang gugur.

‘Nur Sofea Liyana, kalau ada jodoh, kita akan berjumpa, kan? Dan kalau Allah tak mengizinkan, belum tentu kita boleh jumpa.’

Liyana membayangkan Amin berada di hadapannya, membalas segala perkataannya. Namun dia perlu akur. Apa yang terjadi sudah tersurat. Redha Liyana dengan ketentuan Ilahi.

“Ana tetap rindukan kamu.” Liyana menahan sebak.

‘Kamu percaya jodoh?’

‘Sungai Nil dan Mesir, itu jodoh. Senangnya kalau kita bisa bertemu jodoh yang didatangkan Tuhan dari langit.’

‘Jodoh itu bukan dari langit’

‘Ia datang dari hati.’

Liyana masih hanyut dalam khayalannya. Satu persatu kenangan muncul di benaknya.

‘Kamu kan Mesir Ana. Ana Sungai Nil kamu.’

‘Jumpa, terpisah, jumpa balik, terpisah semula, then jumpa balik. Berulang-ulang tak berhenti.’

“Tapi kini kita betul-betul dipisahkan dua alam yang berlainan, Amin. Mungkin kita akan bertemu semula di sana. Semoga rohmu dicucuri rahmat.” Liyana mengakhiri. Air mata diseka. Sendu dihentikan. Doa dipanjatkan untuk Muhammad Amin Firdaus.

Kulihat lambaianmu dari syurgawi memanggilku.

....................................................................................................

~End~

*cerita ini mungkin ada sedikit kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia namun tidak sepenuhnya...*




0 comments: